Friday, 21 December 2012

Teman Yang Di Rindui... Bab 1


TEMAN YANG DIRINDUI...
BAB 1
"Hahahaa... kikikik... hahaaa..."
"Saleh! nakal betul kau? Nasib baik, aku tak jatuh tertunggeng."
Ria marah-marah manja pada  kucing kesayangannya, Saleh. Aku pun gelihati kenapa Ria memberikan nama kucingnya itu dengan nama manusia.
"Ha ha ha haa... penatnya," tercungap-cungap Ria berlari dan ketawa.
Aku tersenyum sendirian melihat gelagat Ria, anak gadis kampung Pisang itu. Dia kesunyian, Saleh menjadi sahabat Ria siang dan malam. Ketawa dan bergurau.
"hahahaaaha... kikiki..." Ria ketawa lagi apabila Saleh mencelah dikakinya sewaktu sedang berlari.
"Tak apa. Esok, aku akan senyap-senyap keluar dari semak dan lari lebih jauh... biar Saleh tak dapat kejar aku..." Bisik Ria sambil tersenyum puas.
Saleh sudah lama sampai di beranda rumah. Aku nampak lidahnya terjelir-jelir. Kepenatan.
Nafasnya turun naik dengan pantas. Saleh adalah seekor kucing kampung jantan, yang gemuk dan cantik. Bulu pada badannya warna oren, berbelang-belang. Ekornya panjang, berbulu lebat dan gebu.
Ria membawa satu baldi air yang baru diambilnya dari sebuah perigi di hadapan dapur rumahnya itu lalu menuju ke sebuah tandas. Tandas itu di perbuat daripada susunan daun kelapa kering dan diikat bersama batang-batang buluh yang telah dibelah dua.Tandas itu bukan untuk buang air besar tetapi cuma untuk buang air kecil sahaja dan untuk cebuk setelah buang air besar di dalam semak.
"Saleh..kau jangan ikut aku, pergi!..." Jerit Ria kepada saleh sambil menyimbah air telaga yang dingin itu ke badan saleh. Saleh terkejut dan terus berlari keluar.
Saleh sangat manja, ke mana saja Ria berada, pasti ada saleh. Saleh tahu saja kemana Ria pergi.
Lucu sangat.
Pada tahun 1970an. Kebanyakan Rumah-rumah dalam kampung itu, adalah rumah papan. Cuma ada beberapa buah rumah sahaja yang di bina separuh batu-bata dan separuh lagi dengan kayu. Selalunya orang-orang yang berada seperti guru dan yang berkemampuan sahaja yang akan membuat simen di bahagian dapur dan di sertakan tandas sekali di dalam rumah.
"Mak, teman Ria..."
"Ria nak...buang air besar." Pada waktu malam, Ria tidak berani untuk pergi buang air jauh-jauh ke dalam semak.
"Cangkul ada tersandar di belakang dapur, bawa pelita ni."
"Takut..." Rengek Ria minta di temani emaknya.
"Salehkan ada... biar dia teman" Emak Ria tersenyum.
Saleh memang teman Ria yang sangat setia. Ria mencangkul tanah di belakang dapur dan mencangkung. Jika ada Saleh, memang Ria tidak akan rasa takut. Ria memandang kesekelilingnya, manalah tahu kalau-kalau ada orang. Waktu itu pukul 10 malam, selalunya pada waktu-waktu begini orang-orang kampung dah mulai tidur. Emak Ria pun sedang membentangkan sebidang tikar dan sebidang lembek kekabu di atas tikar tersebut. Sesekali bunyi cengkerik memecah kesunyian malam yang dingin itu.
"Saleh..janganlah kacau..pergilah sana, tangkap cengkerik..menganggulah.." Ria geram dengan Saleh, manja sangat.
Saleh bagikan faham apa yang di suruh Ria, dia pergi merayap di bawah pohon durian. Dari jauh matanya nampak bersinar. kalau Ria tidak perasankan Saleh, tentu Ria akan takut.
Aku masih ingat lagi pertama kali Ria jatuh hati apabila melihat Saleh, pada masa itu Saleh masih kecil. Ada orang telah membuang Saleh di hadapan rumahnya.
"Meow!...Meow!...Meow!..." Bunyi anak kucing itu, lemah.
"Mak, Ria pergi sekolah duu ya mak..." Ria mengintai-ngintai di manakah suara anak kucing itu datang.
"Ria, ambillah pisang nangka rebus ini, boleh makan dengan kawan-kawan di sekolah." Sambil mengisi pisang-pisang rebus itu kedalam bekas plastik.
"Terima kasih mak..." Ria mengambil bekas itu sambil mencium pipi emaknya.
"Eh, anak kucing mak!... comelnya...mak, Ria nak bela, cantik bulunya."
"Jangan lupa tolong bagi makan kepadanya, nanti bila balik dari sekolah, Ria mandikan dia!" jerit Ria sambil berjalan seiring rakan-rakannya kesekolah. Jarak antara rumah dengan sekolah Ria kira-kira satu batu.
Masa itu Ria sudah masuk darjah 6, tahun hadapan Ria akan naik ke tingkatan satu di sekolah menengah. Arwah ayahnya telah meninggal setahun yang lalu. Di sebelah pagi, emaknya pergi menoreh getah, apabila selesai, emaknya akan pergi bercucuk tanam di kebun sayur pula. Kesian aku melihat emak Ria bekerja bertungkus lumus untuk menyara seorang lagi anaknya yang masih bersekolah. Empat lagi anak perempuannya sudah berkeluarga. Ria selalu sendirian di rumah.